31 Ogos 2017 - 15:55
World #Quranhour Program Utama Di Maktab TH Di Arafah

Buat pertama kali bacaan al-Quran menjadi program utama di hampir kesemua Maktab Tabung Haji (TH) di Arafah menerusi penganjuran World #QuranHour@Arafah yang berlansung bermula jam 9 pagi tadi, waktu Arafah.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Buat pertama kali bacaan al-Quran menjadi program utama di hampir kesemua Maktab Tabung Haji (TH) di Arafah menerusi penganjuran World #QuranHour@Arafah yang berlansung bermula jam 9 pagi tadi, waktu Arafah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, bersama Pengerusi TH dan barisan pengurusan tertingginya turut meninjau dan beramah mesra dengan jemaah di maktab-maktab.

Rombongan turut melihat lebih dekat program berinteraksi Satu Jam dengan al-Quran anjuran Tabung Haji dengan kerjasama Karangkraf, penggerak utama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI).

Turut mengiringi, Pemegang Amanah YWUI, Ahmad Yani Abd Manaf.

Mohd Nasir banyak membantu menjayakan program World #QuranHour di Arafah.

Asyraf turut mengucapkan tahniah pada semua pihak, terutama jemaah haji yang wuquf di Arafah kerana menyertai program yang amat bermanfaat itu.

Di surau kemah utama Pejabat TH, program World #QuranHour@Arafah dipimpin oleh Pakar Rujuk TH, Datuk Noh Gadut.

Beliau memimpin bacaan surah Yasin beramai-ramai dan surah-surah lazim.

Program diserikan doa khusus sempena kemerdekaan Malaysia.

"Semoga dengan mukjizat al-Quran yang dikumandangkan di bumi Arafah di hari wukuf negara tercinta Malaysia dilimpahi kemakmuran dan menjadi negeri yang penuh rahmat dan keampunan-Nya," katanya.

Noh juga memuji penganjuran program World #QuranHour, berinteraksi satu jam bersama al-Quran di Arafah, kerana al-Quran adalah lambang penyatuan umat Islam.

"Al-Quran mengajar kita perbezaan seharusnya menjadi rahmat dan diuruskan dengan baik.

"Dengan berpegang teguh pada ajaran al-Quran, Insya-ALLAH kita akan selamat dan merdeka dari segala pengaruh yang boleh menyesatkan," katanya.

Sementera itu, Pengarah Operasi Maktab Tabung Haji, Mohd Nasir Mohd Yusoff berkata, hampir kesemua surau-surau Maktab Tabung Haji di Arafah mengadakan program World #QuranHour.

"Ada yang membuat program khatam dengan membahagikan surah-surah pada halaqah-halaqah untuk 30 jus bacaan.

"Semoga bacaan al-Quran di pagi yang indah di bumi Arafah yang penuh berkat, memberi manfaat dan keberkatan pada kesemua jemaah haji tahu ini.

Juga pada tanah air Malaysia yang turut menyambut kemerdekaan pada hari sama," katanya.

Tidak lama berselang jemaah bersedia mendengar khutbah Arafah di khemah masing-masing.

Di surau Maktab 85, Khutbah Arafah Musim Haji 1438 H/2017 bersamaan 9 Zulhijjah 1438H di sampaikan oleh Asyraf Wajdi yang turut disiarkan secara langsung di Malaysia oleh TV1 dan TV Al Hijrah.